KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan Reformasi Pembersihan Awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan kebersihan negara.
Menterinya, Nga Kor Ming, mengumumkan beberapa inisiatif utama termasuk penggunaan kenderaan elektrik (EV) untuk kerja pembersihan malam, sistem pembayaran Single Window Payment Monitoring System, dan program jalan tanpa habuk.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bentangkan RMK13 esok, dan reformasi ini adalah salah satu tonggak utamanya. Dengan teknologi, sektor pembersihan perlu lebih efisien,“ katanya dalam Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2025 anjuran SWCorp.
Majlis itu menghargai sumbangan pekerja pembersihan dalam mengekalkan kebersihan persekitaran. Nga mencadangkan sambutan tahunan bagi mengiktiraf jasa mereka dan menyeru masyarakat menghormati profesion ini.
Beliau turut mengingatkan tentang Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang membenarkan denda dan khidmat masyarakat terhadap pembuang sampah.
“Kita perlu bertanggungjawab atas kebersihan, bukan kerana takut hukuman, tapi kerana cinta negara,“ tegasnya.
SWCorp juga menerima sijil The Malaysia Book of Records (MBOR) untuk arca Struktur Burung Terberat daripada bahan kitar semula, dipamerkan di Kuantan Art Street sebagai simbol inovasi hijau - BERNAMA