• 2025-10-11 05:40 PM

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memanfaatkan peningkatan peruntukan sebanyak 2.6 peratus dalam Belanjawan 2026 untuk memperkasakan kerajaan tempatan, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memastikan kelestarian bandar.

Menteri Nga Kor Ming berkata KPKT menerima peruntukan berjumlah RM6.09 bilion bagi 2026 berbanding RM5.93 bilion tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM154 juta.

Beliau menegaskan KPKT akan memastikan setiap sen yang dibelanjakan memberikan kesan langsung kepada rakyat sama ada di bandar mahupun di desa.

“Kita mahu rakyat hidup selesa, pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih berdaya saing dan komuniti terus maju bersama semangat Malaysia MADANI,” katanya.

Nga berkata Belanjawan 2026 turut memberikan penekanan dalam menegakkan akauntabiliti dan integriti semasa pelaksanaan dasar dan projek.

Beliau menambah pengagihan peruntukan besar kepada KPKT membuktikan keyakinan Kerajaan MADANI terhadap keupayaan kementerian.

Nga berkata peruntukan Belanjawan 2026 itu memberikan tumpuan kepada empat sektor utama iaitu perumahan, kerajaan tempatan, kesejahteraan komuniti dan perkhidmatan kebombaan.

Sebanyak 12 inisiatif utama telah digariskan antaranya RM143 juta untuk program penyelenggaraan perumahan berstrata awam dan swasta.

Sebanyak RM672 juta diperuntukkan bagi program residensi rakyat (PRR) dan rumah mesra rakyat yang memanfaatkan lebih 33,000 penghuni.

Inisiatif lain termasuk pelanjutan pengecualian penuh duti setem bagi pembeli rumah pertama berharga sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2027.

Pengecualian ini bertujuan memastikan pasaran hartanah kekal berdaya saing serta dapat mengawal kenaikan harga rumah untuk faedah rakyat. – Bernama