KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaporkan sebanyak 6,505 kes Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) telah diselesaikan sehingga bulan Jun lepas.
Peningkatan ketara dalam pendaftaran kes dilihat setiap tahun, dengan 6,484 kes didaftarkan pada tempoh yang sama tahun ini.
Menurut kenyataan KPKT, sebanyak 12,883 kes telah didaftarkan di TPPS bagi tahun 2024, dengan 11,839 kes berjaya diselesaikan. Pencapaian ini dijangka terus meningkat berdasarkan rekod kejayaan tribunal pada tahun-tahun sebelumnya.
TPPS terdiri daripada dua tribunal utama iaitu Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan Tribunal Pengurusan Strata (TPS).
Kedua-dua tribunal berfungsi sebagai platform alternatif untuk menyelesaikan pertikaian antara pembeli rumah dan pemaju, serta isu pengurusan strata secara efisien.
Bagi nilai award yang dikeluarkan, TTPR mencatatkan jumlah RM26,444,180.82 pada tahun lepas, manakala TPS mengeluarkan award bernilai RM60,053,136.58.
Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyampaikan watikah pelantikan kepada tujuh presiden TPPS yang diperpanjang tempoh perkhidmatan. Dengan penambahan ini, jumlah keseluruhan presiden TPPS kini seramai 42 orang, terdiri daripada 14 presiden TTPR dan 28 presiden TPS.
“Penambahan ini diharap dapat meningkatkan kecekapan pengendalian kes dan memastikan pematuhan kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan,“ menurut KPKT.
Nga turut menyatakan bahawa pencapaian TPPS selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau merujuk kepada Laporan Daya Saing Dunia 2025 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD), di mana Malaysia melonjak ke tangga ke-23 berbanding kedudukan ke-34 sebelum ini.
“Peningkatan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh kecekapan, ketelusan dan integriti dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,“ katanya.
KPKT melalui TPPS kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan yang cekap, terutamanya dalam pengurusan perumahan berstrata bagi memastikan kualiti hidup yang lebih baik. - Bernama