• 2025-10-08 03:24 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan reformasi menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan dan disiplin murid termasuk cadangan menggubal Akta Anti-Buli.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sistem tribunal untuk akta berkenaan kini diteliti Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Inisiatif itu antara langkah baharu selepas penubuhan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan serta audit keselamatan di 735 sekolah seluruh negara sejak Ogos lepas.

Antara reformasi penting ialah memperkenalkan fungsi aduan tanpa nama bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.

Kementerian juga mengemas kini prosedur operasi standard salah laku buli dan seksual supaya lebih sistematik serta menyeluruh.

Beliau berkata KPM turut memperkenalkan Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI yang menekankan keseimbangan intelektual, sahsiah dan spiritual.

Elemen pembentukan karakter akan dimasukkan dalam kurikulum 2027 bagi melatih pelajar mengurus emosi dan membina empati.

Data Sistem Sahsiah Diri Murid menunjukkan 7,681 kes buli direkodkan pada 2024 berbanding 6,528 kes pada 2023.

Wong berkata KPM yakin insiden dapat dikurangkan menerusi pendekatan menyeluruh melibatkan sekolah, ibu bapa dan komuniti.

Usaha memerangi buli ini perlu dilaksanakan tanpa kompromi oleh semua pihak sebagai tanggungjawab bersama.

Pelantikan Duta Sahsiah dan Pembimbing Rakan Sebaya membantu menyediakan saluran sokongan alternatif kepada murid.

Garis panduan baharu melalui Surat Pekeliling Ikhtisas 12/2023 telah memperincikan tatacara pengendalian kes buli fizikal, lisan dan bukan lisan.

Jumlah warden asrama telah meningkat 68.5 peratus dalam tempoh tiga tahun daripada 6,055 orang pada 2022 kepada 10,204 orang tahun ini.

Bagi sekolah yang mempunyai 50 murid asrama kini diperuntukkan tiga warden berbanding satu sebelum ini.

KPM turut mendapat pandangan untuk melantik warden sambilan daripada pasukan polis atau tentera.

Lawatan mengejut akan terus dilakukan oleh pengurusan tertinggi KPM bagi memastikan pematuhan SOP keselamatan dan disiplin. – Bernama