KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang giat melaksanakan audit keselamatan di semua sekolah berasrama di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata audit keselamatan telah dilaksanakan di 54 sekolah berasrama dari 24 hingga 29 Ogos lepas.
Sekolah yang diperiksa terbahagi kepada sekolah berasrama penuh, asrama pusat, asrama desa dan asrama sekolah harian.
Antara aspek keselamatan yang diberi tumpuan adalah jadual bertugas warden, pemantauan rekod aduan, bilangan warden, pencahayaan waktu malam dan kamera litar tertutup (CCTV).
Kesemua sekolah berasrama yang diperiksa mematuhi jadual bertugas warden dan melakukan pemantauan rekod aduan.
Sebanyak 49 daripada 54 sekolah berasrama mempunyai bilangan warden mencukupi dan pencahayaan waktu malam yang baik.
Manakala 24 sekolah berasrama mempunyai CCTV yang berfungsi dengan baik.
Program intervensi salah laku buli turut dilaksanakan di semua sekolah berasrama yang diperiksa.
Program ini merangkumi intervensi pencegahan, pemulihan, perkembangan dan krisis.
KPM menegaskan bahawa tambah baik kepada pematuhan aspek keselamatan sekolah perlu diberi perhatian.
Sehingga kini sebanyak 110 sekolah berasrama telah diperiksa dalam program audit ini.
Audit keselamatan akan diteruskan di semua sekolah berasrama seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru, serta seluruh warga sekolah terpelihara. – Bernama