the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, June 26, 2026
22.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

KPN peroleh kebenaran mulakan prosiding komital kedua terhadap Papagomo

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain untuk memulakan prosiding komital kedua terhadap penulis blog Papagomo kerana melanggar syarat permohonan maaf yang diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini.

Permohonan itu berkaitan kes saman RM3 juta difailkan Razarudin terhadap Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, berhubung dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Raam Kumar, yang mewakili Razarudin, dan Muhammad Rafique Rashid Ali bagi pihak Wan Muhammad Azri.

“Pendengaran inter-parte bagi perintah komital ditetapkan pada 30 Jun, jam 10 pagi dan kehadiran defendan adalah diwajibkan,“ katanya.

Mahkamah turut memerintahkan penulis blog itu memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 23 Mei ini manakala afidavit balasan Razarudin pada atau sebelum 6 Jun serta hujahan bertulis pada atau sebelum 20 Jun.

Terdahulu, Raam Kumar berhujah defendan sepatutnya mendiamkan diri selepas membuat permohonan maaf di mahkamah pada 30 April lepas.

“Pada 1 Mei lepas, defendan dengan sengaja menerbitkan satu video menerusi TikTok (Papa Azri) serta YouTube (Sir Azri) dan kenyataan itu bertentangan dengan permohonan maaf yang telah dipersetujui dalam perintah komital sebelum ini.

“Permohonan maaf itu tidak ikhlas dan tidak diterbitkan melalui akaun media sosial yang sama seperti perintah mahkamah. Permohonan maaf di media sosial yang diiringi latar belakang muzik ‘Maafkan Kami’ daripada sedutan filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah suatu jenaka,“ katanya.

Muhammad Rafique pula berkata anak guamnya tidak berniat mempermainkan arahan mahkamah dan permohonan maaf itu telah disiarkan di media sosial defendan serta dilaporkan oleh pihak media.

Pada 5 Mei lepas, Razarudin memfailkan notis permohonan ex-parte bagi mendapatkan perintah pengkomitan iaitu agar defendan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah serta dipenjarakan kerana menghina mahkamah.

Razarudin berkata ini kerana defendan gagal mematuhi syarat untuk memadamkan terbitan video berkaitan fitnah terhadap beliau bertarikh 14 dan 15 Jan selain tidak menyiarkan permohonan maaf yang dibacakan di mahkamah pada 30 April di platform media sosial YouTube, TikTok, X dan Telegram milik penulsi blog itu.

Pada 10 Feb lepas, mahkamah memberi kebenaran kepada Razarudin untuk memulakan prosiding komital terhadap Wan Muhammad Azri yang didakwa tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Jan lepas dengan membuat hantaran ditujukan kepada Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X dan Telegram.

Bagaimanapun, pada 30 April, Wan Muhammad Azri mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat kepada Razarudin kerana melanggar perintah injunksi itu.

Injunksi itu melarang Wan Muhammad Azri atau wakilnya daripada menerbit atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin sama ada dalam kapasiti rasmi sebagai Ketua Polis Negara mahupun secara peribadi termasuk secara bertulis, lisan, video, platform dalam talian atau aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.

Mahkamah turut memerintahkan penulis blog itu menarik balik dan memadam video yang dimuat naik pada 14, 15, 20 dan 22 Dis 2024 di akaun YouTube, TikTok, Facebook, Telegram serta X miliknya yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Paddles up! Hong Kong marks 50 Years of international dragon boat thrills

HONG KONG SAR - Media OutReach Newswire – 25 June 2026 – With top teams from around the world gearing up for the hotly contested Hong Kong International Dragon Boat Races this weekend (June 27-28), participants and spectators can expect a bumper programme of action, fun and entertainment along the Victoria Harbour waterfront in Tsim Sha Tsui – one of the city's most vibrant districts known for its iconic skyline views and tourist attractions.

“Japan Creator Support Fund Progress Report Meeting” highlights international success of Japan’s next generation...

The Fund is beginning to generate tangible international outcomes, including awards, nominations and co-productions across music, film, games and the arts, while expanding opportunities for overseas performances, international events and cross-border collaborations.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings