• 2025-06-25 08:24 PM

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyasarkan 10,000 pelajar sekolah menyertai program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) dalam tempoh setahun.

Timbalan Menterinya K.Saraswathy berkata program IPIM yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia dan Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan melahirkan generasi celik sejarah dan budaya ke arah membina perpaduan kaum.

Beliau berkata pada tahun ini sebanyak 41 muzium di Malaysia terlibat dengan pelaksanaan program IPIM termasuk muzium persekutuan, muzium negeri dan muzium institusi.

“Terdapat lima sesi dalam program IPIM iaitu sesi taklimat oleh pegawai muzium, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), lawatan ke galeri, aktiviti pengukuhan dan refleksi bagi menguji tahap kefahaman pelajar terhadap sesi yang dijalankan.

“Projek rintis IPIM ini telah dilaksanakan pada 2015. Pada 2020 terdapat perancangan untuk program ini dilaksanakan secara fizikal, tetapi tertangguh disebabkan penularan COVID-19 dan disambung semula pada 2021,“ katanya pada Majlis Perasmian Program IPIM Peringkat Kebangsaan 2025 di Muzium Negeri Terengganu di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris.

Saraswathy berkata pada hari ini sebanyak 1,680 pelajar menyertai program IPIM yang diadakan secara serentak di 41 muzium seluruh negara.

“KPN sentiasa menyokong usaha mana-mana institusi di Malaysia dalam mewujudkan kesatuan dan perpaduan.

“KPN berharap agar program IPIM dapat memupuk semangat perpaduan dan keharmonian sekali gus menyemarakkan rasa cinta terhadap negara,“ katanya.