• 2025-06-18 01:41 PM

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini menyumbang RM5,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan memaklumkan sumbangan berbentuk cek cura itu diserahkan kepada Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Abdul Majid yang juga Ahli Tetap TAWP, dalam satu majlis ringkas di sini.

Sumbangan kali ini wang hasil daripada perintah mahkamah terhadap defendan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

Ia sumbangan kedua Razarudin kepada TAWP selepas menyumbang RM10,000 pada 24 Feb lepas, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan peribadi sebanyak RM15,000.

“Sumbangan itu tanda sokongan saya terhadap usaha kebajikan yang dilaksanakan oleh TAWP dalam membantu kebajikan pegawai, anggota, dan anak-anak polis yang memerlukan.

“Dana seperti itu amat penting dalam meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan, terutamanya dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia,” kata Razarudin dalam kenyataan itu.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Ts. Azizee Ismail, Setiausaha Polis Malaysia Datuk Kamaruzaman Abdullah, dan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara) Bukit Aman Alina Sa’ad.

Pada 30 April lepas, Papagomo mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat kepada Razarudin atas kenyataan berunsur fitnah yang dibuat awal tahun ini.

Mahkamah turut memerintahkan Papagomo membayar kos sebanyak RM5,000.