PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggerakkan misi bantuan pascabanjir melalui Briged Sukarelawan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan kekuatan 878 sukarelawan terdiri daripada staf dan pelajar.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan turut digerakkan pelbagai aset milik IPT bagi memudahkan capaian ke lokasi terjejas seperti dua buah bot, 24 bas, enam lori, 15 van dan 17 kenderaan pacuan empat roda.

“Pelbagai kelengkapan tambahan turut disediakan antaranya 56 unit waterjet, empat pam air, tiga tangki air dan sembilan unit generator bagi melancarkan kerja pembersihan bangunan awam seperti sekolah dan premis di kawasan terjejas,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPT turut menyediakan bantuan sokongan psikologi kepada mangsa yang terkesan secara individu mahupun berkelompok.

KPT memaklumkan selain Kedah dan Pulau Pinang, misi bantuan turut dipanjangkan kepada semua kawasan banjir yang terjejas di Perak dan Perlis serta bersedia menggerakkannya ke kawasan lain sekiranya diperlukan.

“KPT berharap dengan usaha berkenaan dapat memberi kelegaan kepada mangsa banjir dan seluruh warga kementerian juga mendoakan agar mangsa diberikan kekuatan menghadapi dugaan,” menurut kenyataan itu.