KUALA BESUT: Peraturan dan perintah di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) masih di fasa akhir untuk mendapatkan kelulusan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ia boleh dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setelah lima peraturan dan satu perintah di bawah akta itu diluluskan, ia akan dikembalikan kepada KKM untuk menguatkuasakannya, antaranya bagi mengekang isu penjualan rokok elektronik (vape) menerusi mesin layan diri.

“Dengan adanya akta ini, insya-Allah kejadian seperti itu akan dapat kita tangani dengan lebih berkesan lagi. Memang sebelum ini KKM maklumkan ia akan dikuatkuasakan pada bulan ini, tapi apakan daya... bukan segalanya terletak pada KKM.

“Kita bekerjasama dengan jabatan lain macam AGC kerana peraturan dan perintah adalah sangat penting untuk ditelitikan dengan terperinci supaya ia tidak mendatangkan apa-apa mudarat,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai menjawab isu berkait penjualan vape menerusi mesin layan diri di ibu negara yang tular di media sosial baru-baru ini, selepas sesi Walkabout Program Premis Bersih, Bebas Asap Rokok (BeBAs) di Deretan Arked MARA, Pulau Perhentian, di sini hari ini.

Dzulkefly berkata KKM mengambil sikap untuk memastikan peraturan dan perintah di bawah akta itu diperhalusi secara lebih tuntas.

“Selagi belum ada akta itu, kita akan terus gunakan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004. Jadi, tidak ada rehatnya atau lompang dalam pelaksanaan itu,“ katanya.

Sementara itu Dzulkefly menyeru kerjasama penuh kerajaan negeri untuk melaksanakan zon bebas asap rokok di kawasan tumpuan ramai seperti Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Beliau berkata selain Terengganu, tiga lagi negeri lain telah melaksanakan inisiatif tersebut ialah Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.

“Jadi insya-Allah saya mengharapkan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan exco kesihatan untuk menjayakan program ini khasnya di pantai. Ia seharusnya diperluaskan ke seluruh negara, tiada yang terkecuali kerana ia sangat penting,“ katanya.