Your Title

KLANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperuntukkan dana tambahan RM6 juta kepada perusahaan kecil milikan usahawan India.

Timbalan Menteri KUSKOP Datuk Seri R. Ramanan berkata peruntukan tersebut, akan disalurkan menerusi program sedia ada yang dijenamakan sebagai Business Accelerator Programme for Indian Small Business (I-BAP).

Beliau berkata I-BAP menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk geran padanan sehingga RM100,000, bagi tujuan meningkatkan kapasiti dan keupayaan serta prestasi perniagaan dan produktiviti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Skop bantuan merangkumi perolehan mesin, peralatan, pensijilan produk, pengadaptasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), e-Dagang, penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pengiklanan dan promosi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Renewcell (M) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Beliau berkata permohonan bagi geran padanan tersebut akan dibuka pada 7 Okt sehingga dana tersebut selesai disalurkan sepenuhnya.

Ramanan berkata syarikat yang ingin memohon perlu memiliki sekurang-kurangnya 60 peratus ekuiti milikan India tempatan, dengan jualan tahunan melebihi RM300,000 setahun dan telah beroperasi 12 tahun serta mempunyai Sijil Akuan Status PMKS.

“Pemohon hanya perlu mengemukakan lima dokumen sokongan asas seperti sijil pendaftaran perniagaan, lesen premis perniagaan, penyata kewangan, penyata bank dan sebut harga berkaitan,” katanya.