• 2025-07-07 08:01 PM

KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan telah berjaya meningkatkan kutipan bayaran interim Sabah bagi Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Kutipan tersebut meningkat daripada RM26 juta kepada RM125.6 juta pada 2022, kemudian melonjak ke RM306 juta pada 2023, dan dijangka mencecah RM600 juta tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, menyatakan bahawa peningkatan ini merupakan satu langkah ke hadapan yang perlu diperkukuh bagi memastikan hak-hak Sabah dan keperluan pembangunan terus tercapai.

Beliau menekankan usaha yang dipelopori oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam memastikan kutipan hasil yang lebih tinggi bagi negeri ini.

“Usaha ini harus direkodkan dalam DUN sebagai satu kejayaan besar dalam memastikan Sabah mendapat hak yang sewajarnya,“ katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2025 di persidangan DUN Sabah.

RUU tersebut melibatkan peruntukan belanjawan sebanyak RM1.186 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah DUN Sabah.

Apabila digabungkan dengan Belanjawan 2025 yang diluluskan November lalu bernilai RM6.421 bilion, jumlah keseluruhan belanjawan tahun ini mencapai RM7.607 bilion.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, turut menyatakan bahawa peruntukan RM11 juta diperuntukkan untuk biasiswa, dermasiswa, dan bantuan pelajar, termasuk 35 biasiswa kepada pelajar Sabah di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

Selain itu, RM150 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan raya dan jambatan di negeri ini.

Beliau berharap DUN Kadamaian dan Parlimen Penampang turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan Belanjawan Tambahan Sabah 2025. - Bernama