Your Title

SANDAKAN: Sebanyak lapan pos imbangan tentera dalam pembinaan di Sabah dan Sarawak yang bakal meningkatkan tahap kawalan di sempadan negara dijangka siap tahun ini.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata pembinaan pos imbangan itu membabitkan dua pos di Sabah dan enam di Sarawak.

“Ketika ini bilangan pos imbangan sedia ada sebanyak 23 pos iaitu sembilan pos di sempadan Sabah dan 14 di Sarawak.

“Pos-pos imbangan yang masih dalam pembinaan di Sabah ialah Pos Felda Selatan, Kalabakan dan Pos Tambulanan, Tawau,” katanya dalam satu kenyataan sempena lawatan ke Sabah hari ini.

Muhammad Hafizuddeain berkata enam pos imbangan dalam pembinaan di Sarawak pula ialah Pos Kandaei 2, Lundu, Pos Meliki, Serian, Pos Tong Nibong, Serian, Pos Nanga San, Sri Aman, Pos Ensawang, Sri Aman dan Pos Pa’dalih, Miri.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat rancangan bagi membina pos sempadan baharu iaitu Pos Ladang Brantian di Tawau, Sabah serta Pos Long Singut di Kapit, Sarawak.

Di samping itu, tentera darat juga akan menggunakan pelbagai teknologi terkini seperti dron dan sistem komunikasi satelit, dalam usaha mengawasi keselamatan negara.

“Kertas Putih Pertahanan juga menyatakan Malaysia akan menggunakan teknologi moden seperti kecerdasan buatan, dron dan termasuk teknologi pengawasan terkini sebagai force multiplier untuk melengkapi keupayaan aset serta sumber anggota.

“Selain itu, hasil pengawasan garis sempadan yang efektif sehingga semalam, Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat menerusi Operasi Awas atau Keris Parang dan Operasi Jagawakan di Sarawak, serta Operasi Balasah di Sabah, telah mencatatkan pelbagai kejayaan termasuk pengusiran dan rampasan barangan bernilai RM908,731.75,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hafizuddeain ketika ditemui pemberita di Pulau Berhala di sini berkata pihaknya sentiasa akur dengan sebarang pendirian kerajaan terhadap isu membabitkan Palestin dan tentera darat bersedia jika diperlukan dalam memberi bantuan kemanusiaan misalnya seperti membentuk hospital medan.

“Anggota kita sentiasa bersiap sedia untuk membantu, kerana sudah menjadi sekunder kita melakukan tugas sampingan dalam apa juga keadaan termasuk ketika bencana alam,”katanya.