SHAH ALAM: Laporan teknikal berhubung insiden letupan saluran dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April, dijangka akan dilengkapkan pada 26 Jun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata laporan siasatan itu juga, akan diselaraskan dengan hasil siasatan jenayah, sebelum dimaklumkan kepada umum.

“Siasatan jenayah kita tak boleh keluarkan sekarang, kerana kita kena cantumkan sekali dengan siasatan teknikal kerana masih ada ruang yang perlu dikenal pasti daripada siasatan jenayah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan teknikal di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pula meliputi keutuhan paip, pergerakan tanah, selain menentukan sama ada sebarang aktiviti di kawasan itu memberi tekanan kepada saluran gas.

Pada 27 Mei, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata laporan siasatan polis serta JKKP berhubung kebakaran saluran gas di Putra Heights, dijangka dikeluarkan pada hujung Jun.

Hussein berkata siasatan oleh polis yang turut meliputi unsur kecuaian atau khianat telah selesai dilakukan, dan pihaknya sedang menunggu JKKP melengkapkan siasatan mereka.

Kebakaran saluran gas Petronas di Putra Heights pada 8.10 pagi, 1 April menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya, selain menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter di lokasi kejadian.