• 2025-07-03 01:30 PM

CYBERJAYA: Siasatan berhubung kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu dilaksanakan secara bebas dan telus tanpa pengaruh Kerajaan Negeri Selangor, menurut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak terlibat secara langsung dalam proses siasatan tersebut. Sebaliknya, pihaknya hanya bertindak sebagai salah satu daripada 212 saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan.

“Realitinya, siasatan dilakukan dengan penuh bebas tanpa ada campur tangan kerajaan negeri. Jadi, jika ada pihak yang mempertikaikan, tidak semestinya kita anggap itu sebagai laporan yang tidak betul,“ jelas Amirudin.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang, Selangor 2035 di Cyberjaya hari ini.

Amirudin turut menyatakan bahawa laporan penuh siasatan akan dibuka untuk semakan umum setelah mendapat kebenaran daripada pihak berwajib.

“Siasatan itu akan saya awamkan nanti selepas mendapat kebenaran, dan mana-mana pihak boleh semak serta kenal pasti tanggungjawab yang terlibat,“ katanya.

Beliau juga menekankan bahawa tiada unsur kecuaian atau khianat ditemui dalam siasatan polis setakat ini. Pihak berkuasa telah memberi ruang sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan tugas, termasuk memanggil saksi seperti pemaju, pengawal keselamatan, dan pengendali jentera.

Sebelum ini, Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) bagi insiden letupan paip gas tersebut.

Insiden kebakaran itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 separa musnah, dan 57 terkesan tanpa terbakar. Sebanyak 218 rumah lain tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.