• 2025-09-26 07:34 PM

KUALA LUMPUR: Program Latihan Jurulatih (TTT) Pengurusan Kewangan Peribadi untuk Guru akan diperluas kepada para guru di peringkat daerah bermula Oktober.

Program yang diterajui Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dan dikendalikan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) ini bertujuan meningkatkan pengetahuan guru dalam pengurusan kewangan peribadi.

Ia juga menjadikan guru sebagai teladan kewangan positif kepada pelajar dan komuniti serta meningkatkan keyakinan mereka menyampaikan pendidikan kewangan di sekolah.

Program yang dijalankan dari Ogos hingga September di Lembah Klang, Kedah, Terengganu, Sarawak dan Sabah itu melibatkan 147 orang guru sekolah kerajaan serta 26 pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Data akhir pascalatihan menunjukkan peningkatan ketara dalam keyakinan guru untuk berkongsi pengetahuan kewangan dengan orang lain iaitu daripada 41% kepada 89%.

Peserta juga menunjukkan peningkatan keupayaan dalam memahami dan mengaplikasikan pengetahuan asas kewangan meningkat daripada 71% kepada 88%.

Melatih seorang guru dari setiap daerah di seluruh Malaysia akan memastikan wujud rangkaian jurulatih pada peringkat akar umbi di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif FINCO Clare Walker berkata guru yang diberikan ilmu kewangan akan lebih bersedia untuk menyampaikan pendidikan kewangan dengan yakin kepada pelajar.

“Ramai pelajar menunjukkan tahap pengetahuan kewangan yang lemah dengan pendedahan yang sedikit terhadap pengurusan wang dalam kehidupan sebenar,” katanya.

Dengan sumbangan daripada rakan kongsi seperti Kumpulan AmBank dan Bank Muamalat Malaysia, peserta didedahkan kepada enam topik kewangan utama.

Topik tersebut termasuk simpanan dan pengurusan aliran tunai, pengurusan hutang, pengurusan risiko kewangan peribadi, pelaburan dan kesedaran tentang penipuan.

Peserta juga mempelajari literasi kewangan digital dan perancangan persaraan melalui kandungan dibangunkan Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Setiap sesi latihan turut menganjurkan TTT Marketplace untuk guru meneroka pelbagai sumber pendidikan kewangan yang tersedia untuk pelajar.

Mereka berinteraksi secara langsung dengan AKPK, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bank-bank dan syarikat insurans bagi memperkukuh pemahaman terhadap perkhidmatan kewangan.

Pengerusi FINCO Tan Sri Azman Hashim berkata komitmen bersama ini menyerlahkan dedikasi industri dalam melabur dalam pendidikan dan pembangunan komuniti.

“Kesan riak daripada inisiatif ini akan melangkaui bilik darjah untuk memperkasakan golongan muda dan keluarga mereka,” katanya. – Bernama