BUSAN: Lawatan kerja Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selama tiga hari ke Korea Selatan yang berakhir semalam, telah memberikan nilai tambah kepada Malaysia dalam mengoptimumkan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam rangkaian telekomunikasi, serta memperoleh ‘petua’ untuk meningkatkan kualiti industri perfileman negara.

Walaupun singkat, lawatan yang bermula pada Isnin lepas, dilihat berjaya membuahkan hasil positif menerusi beberapa pertemuan dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat telekomunikasi, selain mesyuarat dua hala yang diadakan.

Malaysia dan Korea Selatan bersetuju untuk menambah baik inti pati MoU yang melibatkan kerjasama dua hala dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), yang telah ditandatangani pada 2019, dengan fokus kepada aspek AI.

Perkara tersebut dibangkitkan dalam pertemuan Fahmi dengan Menteri Sains dan ICT Republik Korea (MSIT) Yoo Sang-Im, yang berlangsung sempena persidangan GSMA M360 APAC 2024 di Seoul.

“Kita telah meneliti aspek prasarana, termasuk infrastruktur telekomunikasi, dan bagaimana AI boleh dimanfaatkan bukan hanya untuk memantapkan dan mengoptimumkan rangkaian telekomunikasi itu sendiri, tetapi juga sebagai aplikasi yang boleh digunakan melalui rangkaian tersebut,” kata Fahmi ketika mengulas tentang lawatan kerjanya.

Menerusi persidangan yang menghimpunkan wakil-wakil pengendali rangkaian mudah alih seluruh dunia itu, Fahmi turut menyampaikan suara Malaysia dalam ucaptamanya bertajuk “Building the AI-Enabled Digital Backbone”.

Dalam ucapan tersebut, Fahmi menggariskan tiga tonggak utama untuk membangunkan Prasarana Digital yang diperkasakan oleh AI, iaitu pelaksanaan dasar yang berwawasan, pembangunan infrastruktur mampan, dan memupuk kemahiran di semua lapisan masyarakat.

Beliau juga menyaksikan majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan antara Telekom Malaysia (TM) dan Radian Arc, yang bertujuan memenuhi permintaan industri permainan dengan mengukuhkan infrastruktur permainan awan dan kelebihan pengkomputeran.

Selain itu, CelcomDigi Bhd dan pengendali telekomunikasi tanpa wayar terkemuka Korea Selatan, SK Telecom Co Ltd, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam aplikasi AI.

Di Busan, Fahmi menekankan kepentingan memiliki sistem maklumat pecah panggung seperti yang digunakan di Korea, iaitu KOBIS (Korean Box Office Information System).

Beliau meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk mengkaji penggunaan sistem maklumat pecah panggung di Malaysia, bagi mendapatkan data tepat secara “real-time” daripada pengusaha pawagam berkenaan angka jualan tiket bagi setiap filem.

Katanya FINAS juga diminta untuk mengkaji semula Akta FINAS 1981 memandangkan kaedah penstriman semakin meningkat, serta cabaran yang dihadapi pawagam daripada platform yang menayangkan filem secara dalam talian.

Sebelum mengakhiri lawatan kerjanya, Fahmi mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh terkemuka dalam industri filem di Korea, termasuk Pengerusi Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) Park Kwang-su, Pengerusi Majlis Filem Korea (KOFIC) Han Sang-Jun, dan Ketua Pegawai Eksekutif Busan Cinema Centre Kim Jae Hin.

Fahmi juga dibawa melawat lokasi rasmi penganjuran BIFF, iaitu Busan Cinema Centre yang juga dikenali sebagai “Dureraum”. BIFF merupakan antara festival filem berprestij di Asia yang membuka tirainya semalam hingga 11 Okt ini.

Open Two Websites with Image

Clickable Image