KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,147 kandungan buli siber dalam platform media sosial telah diturunkan hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan pengendali platform, dalam tempoh Januari hingga 15 Nov tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata ia merangkumi 804 kandungan di aplikasi TikTok, 195 di Facebook, tujuh di X (Twitter), selain masing-masing sembilan di Instagram dan YouTube serta 123 kandungan di lain-lain platform.

Beliau berkata antara langkah diambil untuk mencegah penyalahgunaan media sosial ialah melalui pelbagai usaha advokasi, bertujuan memberi kesedaran mengenai penggunaan media sosial serta pendedahan risiko dan ancaman penyalahgunaan Internet, antaranya melalui inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB) dan Sukarelawan ICT Malaysia (MIV).

“MCMC dengan kerjasama agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan yang terlibat, secara berterusan menjalankan advokasi kepada pengguna melalui pelbagai platform termasuk portal Sebenarnya.my, KDB, hebahan SMS, media sosial, siaran televisyen dan radio, bagi memupuk kesedaran dan kewaspadaan orang ramai berkenaan risiko dan modus operandi buli siber,” katanya.

Teo menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai langkah diambil untuk mencegah penyalahgunaan media sosial, sehinggakan ada kes bunuh diri dilaporkan akibat buli siber di dalam platform TikTok, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), sama ada MCMC diberikan kuasa menyiasat dan mendakwa kes di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Teo berkata MCMC mempunyai punca kuasa untuk melakukan siasatan.

“Namun, jika sesuatu kes siasatannya dijalankan polis, MCMC tidak akan siasat juga kerana ia pendakwaan dua kali, tetapi kalau polis tak siasat, MCMC masih ada punca kuasa untuk bertindak.

“Jika nak bawa kes disiasat ke mahkamah, kes berprofil tinggi, MCMC perlu rujuk kepada polis dan Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata 65 kes berkaitan komunikasi dibawa ke mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sejak 2018 hingga pertengahan bulan ini, manakala 876 kes telah disiasat di bawah seksyen sama tahun ini.

Seksyen 233 akta itu memperuntukkan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain, bagi membuat, mewujudkan, meminta-minta dan memulakan penghantaran kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.–Bernama