TUMPAT: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti lebih 1,000 lokaliti di seluruh negara yang dikategorikan sebagai lokasi kemalangan berisiko tinggi atau blackspot.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penilaian itu hasil semakan menyeluruh dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap jalan persekutuan yang tidak mempunyai pencahayaan mencukupi, selekoh tajam serta mengalami kerosakan struktur jalan.
“Kita dapat lokasi terlibat mempunyai beberapa kerosakan termasuk pada waktu malam yang memerlukan pencahayaan dan sebagainya.
“Baru-baru ini, kita juga telah memasang lebih 300 lampu solar di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dan ia telah berfungsi dengan baik terutamanya waktu malam.
Ia juga akan dipasang di tempat yang kerap berlaku kemalangan serta selekoh tajam,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Feri Sri Tanjong 1 di JKR Feri Pengkalan Kubor.
Turut hadir Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat Amirut Bua-On dan Pengarah JKR Kelantan Nik Soh Yaacoub.
Nanta berkata kementerian juga memohon dana tambahan bagi merancakkan lagi pemasangan lampu solar di lokasi yang telah dikenal pasti bagi memastikan keselamatan pengguna.
Sementara itu, mengenai Feri Sri Tanjong 1, beliau berkata perkhidmatan feri yang menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Takbai, Selatan Thailand bukan hanya pengangkutan fizikal tetapi juga menyatukan dua masyarakat rentas sempadan.
“Ia juga mampu menjana pergerakan, memperkukuh perdagangan dan menyuburkan hubungan budaya serta persahabatan serumpun.
Feri Sri Tanjong terdahulu telah menabur khidmat selama 34 tahun dengan penuh setia tanpa lelah.
“Justeru, penggantian kepada Sri Tanjong 1 adalah langkah tepat lagi bijaksana, bukan sahaja dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan yang lebih cekap malah sejajar dengan keperluan masa hadapan selari dengan teras utama Malaysia MADANI,“ katanya.
Feri Sri Tanjong 1 mampu membawa muatan sebanyak 58 orang penumpang dan enam kru, lapan kenderaan ringan atau sebuah bas dengan kapasiti penumpang 44 orang itu, dibina membabitkan kos RM7.90 juta dan siap sepenuhnya pada 28 Feb lepas sebelum diserahkan kepada JKR pada 11 Mac.
Nanta berkata feri baharu itu direka bentuk dengan kapasiti lebih besar untuk penumpang serta kenderaan ringan dan berat, sekali gus menjadi pemangkin mobiliti rentas sempadan yang selamat, efisien dan menyokong aktiviti sosioekonomi rakyat.
“Saya yakin dan percaya, dengan keupayaan operasi lebih canggih dan kapasiti ditambah baik, Feri Sri Tanjong 1 akan memberikan pengalaman perkhidmatan lebih menyeluruh kepada rakyat.
Lebih utama, ia mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya di jajahan Tumpat dan kawasan perbatasan,“ katanya.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya feri lama dijadikan monumen kepada generasi akan datang. - Bernama