KUALA BERANG: Polis merekodkan 12,110 kes jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ di seluruh negara bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, yang melibatkan kerugian RM573.7 juta, kata Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa.
Beliau berkata jumlah kes pada bulan Januari hingga Mac lepas itu menunjukkan peningkatan berbanding tiga bulan terakhir tahun lepas iaitu Oktober hingga Disember, yang merekodkan 10,715 kes melibatkan kerugian RM519.9 juta.
“Di Terengganu pula 1,251 kes penipuan dalam talian dengan nilai kerugian RM35.7 juta direkodkan sepanjang tahun 2024, berbanding hanya 1,139 kes (nilai kerugian RM24 juta) sepanjang tahun 2023,“ katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Balai Polis Ajil, di sini hari ini.
Rohaimi berkata jenayah penipuan atas talian merangkumi jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, ‘love-scam’, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud, dan pelaburan tidak wujud.
Beliau berkata peningkatan kes-kes tersebut antara lain ekoran kepesatan pembangunan teknologi serta peralihan gaya hidup masa kini yang tertumpu kepada penggunaan aplikasi dalam talian.
Rohaimi berkata perkembangan pesat bidang teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) turut dikenal pasti antara faktor peningkatan kes penipuan dalam talian.
“Penjenayah kini turut memanfaatkan teknologi seperti penjana identiti digital palsu, laman web tiruan, perbualan automatik (chatbox), serta teknologi ‘deepfake’ untuk memperdaya mangsa.
“AI generatif juga membolehkan penciptaan kandungan yang kelihatan sahih dan meyakinkan, sekali gus menyukarkan pengguna membezakan antara komunikasi yang tulen dan bersifat penipuan,“ katanya.
Beliau berkata sehubungan itu masyarakat dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti tidak menekan sebarang pautan meragukan yang diterima melalui sistem pesanan ringkas, aplikasi WhatsApps, Telegram dan sebagainya serta tidak berkongsi maklumat perbankan dengan pihak tidak dikenali.