NEW DELHI: Lebih 200 mayat telah ditemukan di lokasi nahas pesawat Air India yang terhempas semasa dalam penerbangan ke London pada tengah hari Khamis.

Pesawat Boeing 787 Dreamliner itu membawa 169 warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada apabila ia terhempas di kawasan perumahan berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad di negeri Gujarat.

Penerbangan AI171 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel Ahmedabad menuju ke Lapangan Terbang London Gatwick pada pukul 1.38 tengah hari waktu tempatan, menurut Air India.

Selain 230 penumpang, pesawat itu turut membawa 12 anak kapal.

Pesawat itu dilaporkan merempuh sebuah bangunan asrama doktor ketika terhempas.

Sekurang-kurangnya 204 mayat telah ditemukan di lokasi kejadian, lapor media tempatan yang memetik Ketua Polis Bandar Ahmedabad G.S. Malik.

Seorang mangsa terselamat yang dikenali sebagai Vishwash Kumar Ramesh, 40, menceritakan detik cemas daripada katil hospital.

“Tiga puluh saat selepas berlepas, saya dengar bunyi kuat dan pesawat terhempas,” katanya seperti dilaporkan akhbar Hindustan Times.

“Apabila saya sedar, saya lihat mayat di sekeliling. Saya ketakutan. Saya bangun dan lari. Serpihan pesawat berada di mana-mana. Seseorang menarik saya, meletakkan saya dalam ambulans dan membawa saya ke hospital,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Air India, Campbell Wilson dalam satu kenyataan video pada sebelah petang tidak menyebut angka korban atau jumlah mangsa yang cedera.

Ramai pemimpin dunia dan pengeluar pesawat Boeing turut menyampaikan ucapan takziah atas tragedi berkenaan.

Model 787-8 merupakan antara pesawat badan lebar paling laris di dunia.

Pesawat yang terlibat dalam nahas itu telah diserahkan kepada Air India pada Januari 2014, menurut laman sesawang penjejak penerbangan Flightradar24.

Kumpulan Tata, pemilik Air India, memaklumkan bahawa mereka akan menyalurkan pampasan sebanyak 10 juta rupee (US$116,858) kepada keluarga setiap mangsa yang terkorban, selain menanggung sepenuhnya kos rawatan mangsa yang cedera.

“Selain itu, kami juga akan memberi sokongan untuk membina semula asrama B J Medical,” kata Pengerusinya, N. Chandrasekaran.

Lapangan Terbang Ahmedabad yang sebelum ini menangguhkan semua operasi selepas insiden itu, telah menyambung semula operasi penerbangan.

Menteri Penerbangan Awam India Ram Mohan Naidu Kinjarapu turut melawat lokasi nahas.

“Kami akan menjalankan siasatan yang adil dan menyeluruh. Kami akan menyiasat secara mendalam untuk mengetahui punca sebenar kejadian ini,” katanya kepada media.