KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan gambar kanak-kanak dan remaja di media sosial, khususnya melibatkan kandungan tidak bermoral, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau merujuk kepada pendedahan pelakon dan pempengaruh media sosial Mek Yun baru-baru ini mengenai penyebaran gambarnya ketika masih bersekolah dalam sebuah kumpulan Facebook yang didakwa mempromosikan bahan berunsur seksual terhadap kanak-kanak.

“Lebih mengejutkan, terdapat pengakuan terbuka daripada seorang ahli kumpulan itu, yang mendakwa telah melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak.

“Ini adalah satu bentuk jenayah yang sangat keji dan menjijikkan, yang bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga batas-batas kemanusiaan serta nilai moral masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im berkata perlindungan terhadap kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama yang wajib dipikul oleh seluruh masyarakat dan sebarang perbuatan jenayah sedemikian tidak boleh dibiarkan berleluasa.

Beliau turut menasihatkan orang dewasa agar menjaga adab dan pertuturan terhadap kanak-kanak, sama ada secara bersemuka mahupun di alam maya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat tentang panduan Islam yang menekankan perlindungan terhadap golongan lemah.

“Dalam hal ini, firman Allah SWT memberikan panduan yang sangat jelas iaitu Allah tidak menyukai ucapan yang buruk (yang diucapkan) secara terang-terangan kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (Surah An-Nisa’: 148).

“Begitu juga dengan peringatan Rasulullah SAW agar tidak mengabaikan hak golongan yang lemah, khususnya anak yatim dan wanita. Baginda menegaskan bahawa sesiapa yang mensia-siakan hak mereka akan menanggung dosa (Riwayat Ibn Majah - dinilai sahih oleh al-Albani),’ katanya lagi.

Mohd Na’im turut mengingatkan ibu bapa agar memantau penggunaan media sosial anak-anak dan mendidik mereka tentang keselamatan digital, sambil menyeru pihak berwajib memperkukuh undang-undang dan pemantauan jenayah seksual dalam talian.