RAWANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 2,120 botol sabun pencuci pakaian disyaki tiruan dalam satu serbuan di sebuah premis kilang, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor Mohd Hanizam Kechek berkata serbuan kira-kira pukul 2 petang itu ialah hasil risikan selama dua minggu terhadap aktiviti premis berkenaan yang dipercayai menjadi pusat penyimpanan barangan tiruan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sabun pencuci itu menggunakan label jenama terkenal tanpa kebenaran dan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM29,680,“ katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Mohd Hanizam berkata produk berkenaan dipercayai disasarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan dijual pada harga lebih rendah berbanding produk asli manakala premis kilang terbabit dipercayai telah beroperasi selama lapan bulan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 102(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan semua barangan rampasan akan dibawa ke stor KPDN untuk siasatan lanjut.

“Pemilik premis akan dipanggil bagi membantu siasatan. Pihak pemilik jenama asal juga akan bekerjasama dengan KPDN dalam tindakan lanjut,“ katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi serbuan mendapati botol-botol sabun berkapasiti 3.6 kilogram itu setiap satu telah siap dibungkus di dalam kotak dan sedia untuk diedarkan.