• 2025-08-06 03:11 PM

KANGAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini diberitahu bahawa keluasan sawah terlibat banjir yang berlaku pada September hingga Disember tahun lepas di negeri berkenaan seluas 2,639.53 hektar melibatkan jumlah pampasan sebanyak RM780,146.28.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad berkata semua pesawah terjejas telah menerima sepenuhnya bayaran bantuan ihsan menerusi Skim Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).

“Pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memperkemas mekanisme pampasan sedia ada dalam kalangan pengusaha sawah itu menerusi Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).

“Skim itu diuruskan oleh AgroCaptive Limited yang juga anak Syarikat Agrobank. Skim itu telah mengenal pasti 860 pengusaha sawah di negeri ini yang layak menerima pampasan STTP, khususnya pengusaha yang terlibat bencana banjir pada November dan Disember 2024 dan wajib berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada persidangan itu di Kompleks Seri Putra di sini hari ini, bagi menjawab soalan Wan Zikri Afthar Ishak (PN-Tambun Tulang) yang ingin tahu status pengusaha sawah padi yang terkesan banjir bagi tempoh itu dan mengenai pembayaran bantuan atau pampasan.

Razali berkata di bawah STTP, pesawah terlibat layak menerima pampasan pada kadar RM1,500 per hektar bagi peringkat umur padi bawah 50 Hari Lepas Tabur (HLT) dan sehingga kini proses pembayaran pampasan melalui skim itu masih dalam peringkat semakan serta kelulusan pihak Agrobank dengan bayaran pampasan akan terus dimasukkan ke dalam akaun penerima. - Bernama