• 2025-10-15 03:07 PM

KUCHING: Seramai 29,177 murid Tahun Enam daripada 1,050 sekolah di seluruh Sarawak menduduki Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLPS) yang bermula hari ini, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha negeri itu memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bahasa Inggeris.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, penilaian selama dua hari itu merangkumi mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang diajar di bawah Program Dwibahasa (DLP) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah terpilih di Sarawak.

“UP-DLPS merupakan inisiatif kerajaan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua kertas soalan telah disemak dan disahkan oleh Cambridge University Press and Assessment (CUPA) bagi memastikan penilaian itu memenuhi piawaian antarabangsa dari segi kesahihan dan kebolehpercayaan dalam menilai pengetahuan serta kemahiran murid.

“Melalui penilaian ini, kementerian berhasrat untuk menilai prestasi murid secara objektif dalam subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris, serta mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan.

“Keputusan penilaian ini akan digunakan untuk merangka program intervensi bersesuaian bagi meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah DLP,” katanya.

Sagah berkata, pelaksanaan penilaian itu merupakan langkah penting ke arah memperkukuh pembelajaran STEM dalam bahasa Inggeris di seluruh negeri, di samping menyokong strategi jangka panjang Sarawak untuk melahirkan pelajar berdaya saing di peringkat global di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, KPM, guru besar, guru, ibu bapa serta murid atas komitmen dan dedikasi mereka terhadap kejayaan inisiatif tersebut. - Bernama