• 2025-06-21 06:35 PM

BUTTERWORTH: Data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan sebanyak 559 individu atau 0.5 peratus yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah bagi suku pertama tahun ini berkelulusan ijazah sarjana muda, sarjana atau Doktor Falsafah (PhD).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata 2,323 orang pula memiliki diploma dengan kesemua mereka berusia antara 19 hingga 40 tahun, terjebak penyalahgunaan dadah jenis sintetik atau konvensional seperti heroin atau ganja.

“Data juga menunjukkan 503 orang terlibat penyalahgunaan dadah berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), 41,743 orang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala 30,016 orang mempunyai pendidikan tahap menengah.

“Sebanyak 9,736 orang pula mempunyai tahap pendidikan sekolah rendah manakala 21,057 lagi tiada pendidikan formal,” katanya kepada pemberita selepas Program Libat Urus Bersama AADK dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen yang juga Pengerusi PEMADAM negeri.

Shamsul Anuar yang juga Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan berkata belia berusia 15 hingga 40 tahun kekal golongan penagih dadah paling ramai di seluruh negara dengan 65,264 orang atau 60.2 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2025.

“Mereka ini harapan negara tetapi terlibat dengan penagihan dadah dan sangat membimbangkan kerana jumlahnya besar. Kita juga beri perhatian kepada pelajar sekolah kerana bagi tempoh sama, 23 remaja berusia 14 tahun direkodkan terlibat dadah,” katanya.

Shamsul Anuar berkata penyalahgunaan dadah bukan sahaja merosakkan generasi masa depan tetapi memerlukan perbelanjaan tinggi untuk rawatan.

Menurutnya AADK membelanjakan RM51 sehari untuk setiap pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

Dalam pada itu, beliau berkata AADK menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian enam pelatih Puspen Jelebu, Negeri Sembilan melarikan diri pada awal pagi Selasa lepas.

Siasatan oleh ibu pejabat AADK dan negeri meliputi semua aspek termasuk punca kejadian bagi membolehkan tindakan sewajarnya termasuk penambahbaikan dilakukan supaya kejadian sama tidak berulang.

Shamsul Anuar berkata lima daripada enam pelatih itu berjaya ditahan semula dan usaha giat dijalankan bagi mengesan seorang lagi yang terlibat.