TAIPING: Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) mencatatkan kehadiran 582,959 pengunjung sehingga 15 Dis lepas, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir.
Beliau berkata statistik berkenaan dilihat mampu mencapai sasaran sebanyak 600,000 pengunjung menjelang akhir tahun ini.
“Angka ini meletakkan Zoo Taiping & Night Safari pada landasan yang kukuh untuk mencapai jumlah pengunjung seperti yang disasarkan,“ katanya dalam ucapan sempena perasmian Zoorama 2024 yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pokok Assam Ong Seng Guan, di Pavilion ZTNS hari ini.
Sementara itu, Khairul Amir berkata Zoorama 2024 yang berlangsung selama sembilan hari bermula hari ini adalah program tahunan yang dianjurkan MPT sejak tahun 2012.
Beliau berkata objektif utama Zoorama 2024 adalah untuk menarik lebih ramai pengunjung ke ZTNS dengan mengadakan pelbagai aktiviti, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan biodiversiti.
Dalam pada itu, Khairul Amir berkata beberapa spesies pembiakan haiwan di ZTNS berlaku pada tahun ini antaranya seekor badak air, 16 ekor kura-kura Sulcata, 17 ekor burung Botak Upih, tiga ekor anjing hutan serta dua ekor kancil.
Ong dalam ucapannya pula berkata program Zoorama 2024 tidak hanya memberikan pengalaman rekreasi dan pendidikan kepada masyarakat, tetapi ia juga menunjukkan dedikasi semua pihak terhadap pemeliharaan biodiversiti dan alam semula jadi.
“Ini (program itu) selaras dengan matlamat kita untuk menjadikan Taiping sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja menarik tetapi juga mendidik.
“Zoorama 2024 adalah satu platform hiburan yang istimewa kepada pengunjung ZTNS yang tidak hanya menyediakan hiburan untuk seisi keluarga tetapi juga menyampaikan mesej tentang pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti. Ia juga satu usaha memupuk rasa cinta terhadap alam semula jadi dalam kalangan masyarakat,“ katanya.