KANGAR: Lebih 83 peratus Hutan Simpan Kekal (HSK) di Malaysia disijilkan di bawah Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC) setakat ini, kata Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Zahari Ibrahim.
Beliau berkata pencapaian itu meletakkan Malaysia sebagai satu-satunya negara hutan hujan tropika dalam kelompok 10 teratas dunia daripada segi keluasan hutan yang disijilkan sekali gus mengatasi negara tropika utama seperti Brazil dan Indonesia.
“Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keberkesanan dasar negeri malah mencerminkan komitmen penguatkuasaan di peringkat tempatan dan kesungguhan berterusan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dalam mengamalkan prinsip pengurusan hutan yang lestari, bertanggungjawab serta berdaya saing di persada global,” katanya.
Zahari berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Festival Hutan Hujan Nakawan sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri tahun ini di Dataran Pejabat Hutan Daerah Perlis Selatan, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat dekat sini hari ini yang disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Beliau juga berkata empat lokasi baharu diwartakan sebagai HSK menjadikan luas keseluruhan kawasan itu di Perlis ialah 11,140 hektar tahun lepas berbanding 10,870 hektar pada 2023.
Dalam perkembangan lain, Zahari berkata sebanyak 114.72 juta pokok yang merangkumi 1,972 spesies berjaya ditanam di seluruh negara sejak pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perlis atas kejayaan menanam 1,039,759 pokok setakat 22 Mei lepas, iaitu mengatasi sasaran awal sejuta pokok.