KANGAR: Sebanyak 86.99 juta pokok yang merangkumi 1,823 spesies tumbuhan berjaya ditanam di seluruh negara sejak pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok pada 2021.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Dr Ching Thoo a/l Kim berkata kementerian sentiasa memberikan sokongan dan galakan dalam menjayakan Agenda Penghijauan Malaysia melalui kempen itu selaras usaha menerapkan kesedaran serta semangat cintakan khazanah sumber asli negara ini.

“Perlis juga tidak ketinggalan dan terlibat secara aktif dalam menjayakan kempen ini. Saya dimaklumkan sehingga kini, Perlis berjaya merekodkan penanaman hampir satu juta pokok (sehingga 14 Mei lepas sebanyak 940,421 pokok ditanam) yang merupakan satu pencapaian amat memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Nakawan Rainforest Festival sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri Perlis tahun 2024 di Dataran Pejabat Hutan Daerah Perlis Selatan, Kawasan Ekopelancongan Sungai Batu Pahat di sini hari ini.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmilkan majlis berkenaan. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Ching Thoo berkata Malaysia akan terus komited dalam memelihara dan memulihara kawasan berhutan yang masih terdapat di seluruh negara serta beriltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan hutan selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

“Pada masa ini, keluasan kawasan berhutan negara adalah 18 juta hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara. Di peringkat Persekutuan, Kerajaan telah mengemas kini dan memperkenalkan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 dan Dasar Perhutanan Malaysia untuk memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan dan konservasi biodiversiti di negeri-negeri.

“Selain itu, Rancangan Fizikal Negara (RFN) Ke-4 turut menyasarkan sejumlah 50 peratus kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia menjelang 2040,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 telah diwartakan pada 20 Sept 2022 di peringkat Persekutuan dan sehingga kini Perlis merupakan negeri pertama dan satu-satunya negeri yang menerima pakai keseluruhan pindaan yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu.

“Syabas dan tahniah kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Kerajaan Perlis kerana telah mengambil tanggungjawab dan bertindak pantas dalam urusan pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di peringkat negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) telah ditambah kepada RM200 juta pada tahun ini berbanding RM150 juta pada 2023 untuk membantu kerajaan negeri memulihara dan mewartakan kawasan perlindungan.

“Perlis telah menerima peruntukan EFT sebanyak RM16.99 juta (sejak 2019 hingga 2024).

“Selaras dengan peningkatan peruntukan EFT daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini, patik amat berharap supaya peruntukan EFT ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan program dan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan kepelbagaian biologi di peringkat negeri,” katanya.