KUALA LUMPUR: Pengecualian terbaharu sistem e-invois untuk perniagaan dengan jualan tahunan di bawah RM500,000 ketika ini membolehkan lebih banyak ruang untuk mereka melabur dalam peralatan yang betul untuk melaksanakan sistem itu, kata Persatuan Majikan Perindustrian, Komersial dan Perkhidmatan Malaysia (MICSEA).
Presiden MICSEA YK Lai berpendapat pengecualian itu akan membawa kelegaan kepada lebih 90,000 perusahaan mikro dan kecil, menjadikan jumlah keseluruhan perniagaan dikecualikan kepada kira-kira 790,000, mewakili peniaga terkecil dan paling terkesan di negara ini.
“MICSEA melihat ini sebagai langkah besar ke depan dalam mengurangkan sebarang beban pengurusan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mereka mungkin tidak mempunyai infrastruktur atau sumber digital untuk mengendalikan keperluan invois yang rumit.
“Ini adalah langkah kerajaan yang tepat pada masanya dan MICSEA menyokong penuh keputusan ini terutamanya ketika ramai majikan masih dalam proses pemulihan daripada tekanan kewangan pasca pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Lai dalam satu kenyataan berasingan menggesa majikan menyemak dan mengemas kini semua kontrak pekerjaan memandangkan pengecualian duti setem bagi kontrak ditandatangani sebelum 1 Januari, 2025, bagi memastikan pematuhan sepenuhnya menjelang pelaksanaan sistem taksir sendiri duti setem pada 2026.
“Kami di MICSEA memuji pendekatan kerajaan dalam menangani kebimbangan majikan dengan memberikan pengecualian duti setem untuk kontrak pekerjaan yang ditandatangani sebelum 1 Januari, 2025.
“Keputusan ini, diumumkan melalui HASiL (Lembaga Hasil Dalam Negeri), mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyokong perniagaan secara berterusan, pada masa sama memastikan pematuhan melalui penguatkuasaan,“ katanya.