GEORGE TOWN: Lelaki yang ditahan selepas menikam seorang wanita dan bapanya sehingga maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Air Itam di sini Khamis lepas akan didakwa di esok.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata lelaki berusia 32 tahun yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu, akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
“Proses pendakwan ke atas lelaki itu akan dijalankan di Hospital Pulau Pinang, kerana suspek masih dirawat di sebuah wad di hospital itu ketika ini.
“Pihak polis berjaya melengkapkan siasatan kes bunuh berprofail tinggi itu dalam enam hari sahaja, sehingga menghasilkan pertuduhan terhadap suspek bunuh itu esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan angkara cinta ditolak disahkan menjadi motif seorang wanita dan bapanya maut ditikam seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim dan siasatan mendapati suspek menaruh perasaan terhadap wanita berusia 30 tahun itu, tetapi mangsa tidak membalas cintanya.
Dalam kejadian 7 Nov, seorang lelaki berumur 62 tahun dan anak perempuannya maut, dipercayai ditikam seorang lelaki yang sebelum itu dilihat membawa pisau dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri berkenaan.
Suspek yang bekerja di sebuah kilang di Kulim, Kedah mengalami kecederaan selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri menggunakan pisau yang sama dia tikam dua beranak tersebut, sebelum berjaya ditahan polis.
Lelaki itu dirawat di HPP dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga 14 Nov.