SHAH ALAM: Seorang lelaki berusia 41 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan membunuh rakan serumahnya di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh bulan lepas.
Faisal Abdul Aziz mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan kepadanya.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Faisal didakwa membunuh Muhammad Fakhrullah Pauzihal Ali, 33, pada pukul 11.26 malam, 25 Jun lepas.
Kesalahan ini dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali jika disabitkan bersalah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menetapkan 10 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.
Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad, pertengkaran berpunca daripada keadaan bilik yang bersepah dipercayai menjadi punca pergaduhan antara kedua lelaki tersebut, sehingga menyebabkan kematian mangsa akibat tikaman. – Bernama