• 2025-07-15 10:02 PM

MUAR: Seorang lelaki berusia 40-an dikhuatiri lemas selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam Sungai Kampung Tui di Jalan Bukit Kepong, berhampiran Jambatan Kampung Kecil, Pagoh. Kejadian itu dilaporkan berlaku petang tadi.

Menurut Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.22 petang. Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh serta Muar dihantar ke lokasi bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Pasukan mendapati sebuah kereta Perodua Axia telah terjunam ke dalam sungai sedalam kira-kira dua meter,“ kata Nor Alfatah. Beliau juga menyatakan bahawa berdasarkan maklumat awal polis, kemalangan mungkin berlaku sehari sebelum laporan diterima.

“Terdapat mangsa iaitu lelaki hilang yang dipercayai pemandu kenderaan,“ tambahnya. Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan untuk menentukan nasib mangsa. - Bernama