• 2025-09-20 10:57 AM

KUANTAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas semasa mencari etok bersama keluarganya di Sungai Pahang, berdekatan Kampung Bukit Kenau, Pekan petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata mangsa Mohd Zainuren Abd Rashid, 45, dipercayai dihanyutkan arus dalam kejadian kira-kira 6 petang ketika mencari etok bersama empat ahli keluarganya.

Pihak bomba telah bertindak membuat pencarian pada 7.13 malam tadi di sekitar kawasan kejadian di bahagian permukaan air, namun tidak menjumpai mangsa.

Wan Samsul berkata ketika kejadian, ahli keluarga mangsa telah melihat Mohd Zainuren berada jauh daripada mereka dan dihanyutkan arus deras.

Mereka juga berusaha untuk mencari mangsa di sekitar kawasan sungai, tetapi tidak menjumpainya.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan pada 7.30 malam dan akan bersambung esok. – Bernama