• 2025-09-20 01:07 PM

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas mengalami kerugian sebanyak RM76,740 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor menyatakan lelaki berusia 62 tahun itu terjumpa iklan pelaburan saham di Facebook pada 24 Ogos lalu.

Mangsa yang merupakan bekas pekerja industri minyak dan gas kemudian mengklik pautan yang disediakan dan disambungkan ke sebuah kumpulan WhatsApp.

Seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai tenaga pengajar menerangkan prosedur pelaburan kepada ahli kumpulan WhatsApp tersebut.

Mangsa yang berminat membuat pelaburan berjumlah RM76,740 melalui tujuh akaun bank berbeza antara 24 Ogos dan 18 September.

Azli menjelaskan mangsa baru menyedari ditipu selepas gagal menerima keuntungan yang dijanjikan dan diminta menambah modal untuk pulangan berlipat ganda.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.

Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan pelbagai taktik penipuan sindiket. – Bernama