BUTTERWORTH: Seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun, dua tahun lepas.

Muhammad Miqdam Muhammad Amir, 24, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Miqdam yang ketika itu seorang warden asrama dan mempunyai hubungan amanah terhadap mangsa didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah jagaan di Nibong Tebal dekat sini pada 12 tengah malam, 11 Julai 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan yang serius dan mangsa adalah kanak-kanak.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Naqieya Zulkernain merayu jaminan minimum kerana anak guamnya kini bekerja sebagai penghantar barang dan tidak mempunyai pendapatan tetap selain menyara ibu bapa.

Mahkamah membenarkan Muhammad Miqdam diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Nov depan.