JASIN: Polis menahan seorang lelaki dipercayai aktif mencuri kad akses sistem milik Telekom Malaysia Bhd (TM) di sekitar Melaka melibatkan kerugian bernilai RM168,000, pada awaI pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Jasin Supt Mohamad Rusli Mat berkata suspek berusia 44 tahun itu ditahan selepas dikejar Unit Kereta Peronda (MPV) sejauh lima kilometer dari Kampung Simpang Kerayong ke arah Jalan Kelubi-Kemendor pada 2.30 pagi.

“MPV mengejar kereta Toyota Wish dipandu suspek kerana enggan berhenti untuk pemeriksaan, sebelum kenderaan itu terbabas ke bahu jalan semasa melalui selekoh di Jalan Kelubi-Kemendor.

“Lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota MPV,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan menemukan 42 keping cip kad akses milik TM di tempat duduk sebelah pemandu, selain peralatan seperti alat pemotong dan pemutar skru dalam kereta itu dipercayai untuk memecahkan peti TM.

Mohamad Rusli berkata hasil siasatan mempercayai lelaki itu terlibat dalam 11 kes kecurian kad terbabit melibatkan peti TM di kawasan kampung dan taman perumahan sejak awal tahun ini iaitu selepas lelaki berkenaan dibebaskan dari penjara pada Januari.

“Kad akses itu dijual pada harga RM4,000 sekeping dan perbuatan suspek menjejaskan perkhidmatan Internet di kawasan terlibat,” katanya.

Beliau berkata semakan nombor pendaftaran kenderaan digunakan lelaki itu juga didapati palsu dan tidak mempunyai rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain disyaki kenderaan klon.

Lelaki berkenaan yang memiliki 30 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah selain positif methamphetamine direman hingga esok bagi siasatan di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.