• 2024-05-13 05:43 PM

BALING: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika berkelah di kawasan air terjun Lata Bayu dekat sini malam Ahad ditemukan lemas kira-kira 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata mangsa Muhammad Luqman Zuraidi, 27, ditemukan unit selam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kira-kira 15 meter dari tapak dia berkelah.

“Mangsa dipercayai lemas semasa menyelam kerana topeng selam masih dipakai semasa mayatnya ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Shamsudin berkata Muhammad Luqman dari Kampung Bakong, Asam Jawa dekat sini dikatakan keluar berkelah pada 11 pagi semalam bersama tiga rakannya sebelum bapa mangsa membuat laporan polis selepas rakan anaknya memberitahu berhubung kehilangan mangsa pada 9 malam tadi.

“Kali terakhir rakannya melihat Muhammad Luqman ialah ketika mangsa memberitahu ingin pergi mencari cacing untuk memancing,“ katanya.

Menurutnya operasi mencari dan menyelamat dimulakan 10 pagi tadi melibatkan 55 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.