KANGAR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol anak perempuan tirinya berumur 12 tahun dua bulan pada November tahun lepas dan Februari lepas.

Lelaki itu yang bekerja sebagai pekerja kolam udang membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu di sebuah rumah di Simpang Empat, dekat sini, antara 1 tengah hari hingga 1.30 tengah hari pada November 2024, manakala pertuduhan kedua dia didakwa berbuat demikian di lokasi dan masa sama pada Februari 2025.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan, serta Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak dibenarkan tinggal serumah dengan mangsa, selain menetapkan 23 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad manakala lelak itu diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Widyaevasari Mohd Kanifiah.