KUALA LUMPUR: Cubaan terdesak seorang lelaki menyamar dan “bergaul” dalam kalangan petugas media dan penguat kuasa untuk mengelak dikesan, antara helah pendatang tanpa izin yang dikesan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Chow Kit dan Sentul, di sini awal pagi tadi.

Lelaki itu ditahan di sebuah hotel di Chow Kit, lokasi yang dipercayai menjadi tempat persembunyian pendatang tanpa izin. Dalam keadaan panik, dia bertindak melutut dan merayu agar dilepaskan, mendakwa kononnya memiliki dokumen sah untuk berada di negara ini.

Nasib serupa turut menimpa seorang wanita yang cuba melarikan diri apabila pintu bilik hotel tidak dibuka rakannya walaupun dia menjerit meminta tolong dari luar.

Kedua-dua mereka termasuk dalam 32 pendatang tanpa izin yang ditahan atas kesalahan tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan terbabit ialah hasil risikan selama dua minggu yang dijalankan di beberapa lokasi panas di ibu negara.

“Dalam serbuan pertama di sebuah hotel didiami pendatang tanpa izin di Chow Kit, sebanyak 22 individu ditahan terdiri daripada dua lelaki dan sembilan wanita warga Indonesia, empat lelaki warga Pakistan, lima lelaki warga Bangladesh, dan dua wanita Thailand.

“Bagi serbuan di empat rumah kedai di Sentul pula, sebanyak tiga wanita Indonesia, tiga lelaki warga India, dua lelaki warga Nepal, seorang lelaki Myanmar dan juga Pakistan ditahan,“ katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohammed Saupee, kesemua yang ditahan berumur antara 15 hingga 45 tahun dan kebanyakannya bekerja sebagai pekerja hotel, pencuci kain, pekerja katering serta di premis permainan snuker.

“Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 membabitkan kesalahan tiada dokumen sah serta tinggal lebih masa di negara ini,” katanya.