KUANTAN: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) intelektual yang hilang dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Kuantan berhampiran Kampung Tanah Putih semalam, ditemukan lemas malam ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata Syed Alwi Syed Mohd Ali Hanafiah, 30, ditemukan orang awam dalam keadaan terapung pada 9.10 malam tadi.
“Mangsa dijumpai pada jarak 2.5 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba. Pasukan bomba membawa mayat ke dalam bot penyelamat untuk dibawa naik ke darat dan mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu dilaporkan berkata mangsa dikatakan pergi ke sungai itu bersama adiknya untuk memancing.
Beliau berkata ketika kejadian yang berlaku kira-kira 3 petang semalam, mangsa dipercayai turun ke sungai untuk mandi sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus dan tenggelam.