Your Title

KUANTAN: Seorang lelaki kerugian RM137,000 selepas terperdaya dengan penipuan skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan pada November lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 32 tahun mula tertarik menyertai pelaburan kripto selepas diperdaya suspek pada 28 Nov lepas yang kemudiannya mengarahkan mangsa untuk memuat turun satu aplikasi.

“Mangsa diarah memindahkan wang sebanyak RM87,000 daripada akaun bank mangsa ke aplikasi Luno dan seterusnya dipindahkan ke aplikasi RASTRHV pada 28 Nov lepas hingga 15 Jan.

“Mangsa kemudian telah diminta membuat pembayaran deposit RM50,000 untuk mengeluarkan keuntungan kira-kira RM100,000 pada 15 Jan. Mangsa mula berasa tertipu apabila tidak menerima keuntungan dijanjikan dan sumber kewangan adalah duit simpanannya,” katanya.

Yahaya sehubungan itu menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat selain membuat semakan dahulu dengan Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.