JOHOR BAHRU: Individu terakhir yang ditahan berhubung penculikan kanak-kanak perempuan di pusat beli-belah di Iskandar Puteri, pada Sabtu direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga Isnin depan itu, dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar terhadap lelaki berusia 31 tahun itu.

Suspek yang ditahan di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor, pada 4.45 pagi tadi itu tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 3 petang, dengan tangan bergari dan dikawal ketat anggota polis.

Lelaki yang dibawa dari Selangor ke negeri Johor itu dilihat memakai baju festival Bon Odori Johor yang dianjurkan di Eco Galleria, Iskandar Puteri.

Terdahulu, empat suspek kes penculikan kanak-kanak itu berusia 28 hingga 55 tahun, direman empat hari sehingga Jumaat.

Keempat-empat suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita tempatan, ditahan semalam di sekitar Iskandar Puteri bagi membantu siasatan kes kehilangan kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan sebelum ini dilaporkan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak itu yang disedari hilang oleh bapanya pada 8.30 malam di sebuah pusat beli-belah.