• 2025-09-09 11:25 AM

ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga asing ditemukan maut akibat dipercayai terkena renjatan elektrik semasa cuba mencuri kabel di kawasan Litar Go-Kart, Jalan Padang Keladi, Durian Tunggal.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah DSP Azrul Mohamed menyatakan siasatan awal mendapati pintu pagar rumah kuasa telah terbuka dengan kabel-kabel yang dipotong dalam kejadian jam 2.14 petang itu.

Mangsa berusia 29 tahun dari Myanmar dan pemegang kad UNHCR ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di dalam longkang bersebelahan rumah kuasa tersebut.

Mangsa disyaki terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel-kabel elektrik di lokasi kejadian.

Pemeriksaan lanjut polis mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh badan mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan.

Mayat telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama