SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan pakej haji melibatkan sekumpulan jemaah yang mendakwa dikurung dan diarahkan melalui laluan berbahaya di Arab Saudi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Dzaffir Mohd Yusoff berkata suspek yang berusia 67 tahun itu ditahan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, susulan beberapa laporan polis terhadapnya.
“Siasatan awal mendapati mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri dan seorang anak perempuan dari Mantin, Nilai yang berusia 30 hingga 60 tahun, dan melibatkan kerugian RM81,000.
“Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti sama ada kes ini didalangi pihak persendirian atau melibatkan syarikat agensi,” katanya kepada pemberita di Dewan Majlis Bandaraya Seremban hari ini.
Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Seremban Fairuz Syuhada Amran bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dzaffir berkata pihaknya percaya lebih ramai menjadi mangsa penipuan itu dan menyeru mereka untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Semalam Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata pihaknya menerima tiga laporan daripada waris mangsa di Mantin dan Ayer Hitam, Johor berhubung kes penipuan pakej haji melibatkan sekumpulan jemaah warga emas.
Media sebelum ini melaporkan hasrat 47 jemaah dari Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tidak kesampaian selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan yang dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.