GUA MUSANG: Seorang buruh ladang warga Nepal mengalami kecederaan parah akibat serangan gajah liar di Ladang Metro Blau, Pos Blau.
Mangsa, Muhammad Shukri Abdulah atau nama asalnya Muti Bahadur Bayambu berusia 54 tahun, diserang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada pukul 5.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo menyatakan mangsa menaiki motosikal ketika melihat kesan tapak kaki gajah dan cuba mengintai haiwan tersebut.
Seekor gajah kemudian melibas mangsa menggunakan belalainya dan mengheretnya sejauh 100 meter dari tempat kejadian tanpa disedari.
Mangsa turut dipijak dan dibawa ke bahagian bawah bukit sebelum ditemui oleh pekerja ladang lain yang mendengar jeritan kesakitannya.
Mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi akibat kecederaan serius pada kaki, dada dan leher. – Bernama