SEPANG: Polis Diraja Malaysia akan melaksanakan beberapa lencongan jalan secara berkala berikutan pertindihan acara MotoGP Malaysia dengan Sidang Kemuncak ASEAN terutama pada 26 Oktober.
Ketua Polis Daerah KLia ACP Azman Shari’at berkata langkah itu akan dilaksanakan mengikut masa ketibaan ketua-ketua negara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke ibu negara bagi menghadiri sidang kemuncak berkenaan.
Beliau menegaskan lencongan akan dibuat bergantung kepada keperluan semasa pada masa tertentu sahaja dan bukan pada sepanjang masa.
Azman menasihatkan pengunjung MotoGP supaya mematuhi arahan anggota trafik yang ditempatkan di semua persimpangan dan laluan utama.
Beliau turut menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti kereta api atau bas khas yang disediakan bagi mengelakkan kesesakan.
Sebanyak 450 anggota polis akan ditugaskan sepanjang acara berlangsung bagi memastikan kelancaran trafik, ketenteraman awam dan pencegahan jenayah.
Anggota polis akan membuat rondaan bersama pihak keselamatan Litar Antarabangsa Sepang untuk membantu menjaga keselamatan ramai.
Antara jalan alternatif yang boleh digunakan sekiranya berlaku penutupan sementara ialah Plaza Tol Bandar Serenia, Plaza Tol Nilai dan Plaza Tol Bandar Ainsdale untuk ke Litar Antarabangsa Sepang.
Azman berkata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijadualkan tiba di KLIA pada 26 Oktober namun waktu ketibaannya masih belum dimuktamadkan.
Beliau menekankan bahawa lencongan jalan akan dibuat mengikut kesesuaian dan keperluan pada masa ketibaan pemimpin tersebut.
MotoGP 2025 dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober manakala Sidang Kemuncak ASEAN akan diadakan dari 26 hingga 28 Oktober. – Bernama