• 2025-07-03 10:27 PM

GEORGE TOWN: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti 845 kes yang memerlukan tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan dalam Operasi Pematuhan Cukai siri ke-10, dikenali sebagai OP Tanjong, di sekitar Pulau Pinang.

Operasi ini melibatkan 238 pegawai dengan tumpuan diberikan kepada sektor ekonomi utama termasuk pembuatan, elektronik, elektrikal, digital, teknologi, logistik, pembinaan, kontraktor, dan kejuruteraan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Hisham Rusli, menegaskan bahawa kerjasama berpasukan yang kukuh menjadi teras utama dalam memastikan manfaat optimum kepada semua pihak.

Beliau juga menyatakan bahawa jaringan kolaborasi antara agensi akan terus diperkukuh sebagai elemen penting dalam tadbir urus yang efektif dan mampan.

“Pelaksanaan OP Tanjong membuktikan kesediaan LHDN dalam menyesuaikan strategi pematuhan mengikut landskap ekonomi setempat, tanpa mengetepikan prinsip keadilan dan ketelusan,“ katanya dalam satu kenyataan.

Operasi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif bersasar LHDN untuk mengukuhkan kebertanggungjawaban fiskal dan memastikan sistem cukai yang adil dilaksanakan dengan berkesan.

Enam aktiviti utama dilaksanakan sepanjang operasi, termasuk audit cukai, verifikasi maklumat pembayar cukai, pematuhan strategik, pungutan, duti setem, dan tindakan guaman.

Pendekatan yang digunakan bukan sahaja bersifat penguatkuasaan tetapi juga menekankan aspek pendidikan melalui komunikasi langsung dengan pembayar cukai bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam sistem percukaian negara. – Bernama