LANGKAWI: Syarikat automotif industri pertahanan tempatan, MILDEF International Technologies Sdn Bhd (MILDEF), telah menandatangani perjanjian dengan ASELSAN dari Turkiye bagi memperkukuh kerjasama pertahanan dua hala, khususnya dalam integrasi teknologi tinggi ke dalam kenderaan tempur Tarantula 4x4.

Perjanjian berkenaan membolehkan MILDEF menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi pertahanan utama dari Turkiye, sekali gus menjana penjimatan kos, memacu pemindahan teknologi dan memberi nilai tambah kepada industri pertahanan tempatan.

MILDEF dalam kenyataan memaklumkan perjanjian itu turut memperincikan komitmen eksklusif kedua-dua pihak dalam menyediakan cadangan teknikal dan komersial secara bersama kepada Kerajaan Malaysia, termasuk prinsip kerjasama dari segi tanggungjawab, kerahsiaan, pematuhan peraturan dan melindungi kepentingan bersama.

“Melalui perjanjian ini, MILDEF bertindak sebagai kontraktor utama dan penyedia platform kenderaan, manakala ASELSAN sebagai rakan teknologi utama yang akan membekalkan sistem persenjataan kawalan jauh (RCWS), sistem komunikasi, sensor elektro-optik serta sistem kawalan dan arahan.

“Sebagai pemain industri tempatan yang aktif dan semakin berkembang pesat, MILDEF terus komited memperjuangkan inovasi tempatan serta keupayaan kejuruteraan anak watan,” katanya.

Majlis menandatangani perjanjian itu dilakukan di Pavilion MILDEF sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’ 25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Pada majlis itu, MILDEF diwakili Pengarah Urusannya Datuk Seri Mohd Nizam Kasa dan Pengurus Besar Salimuhar Ali manakala ASELSAN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Ahmet Akyol dan Naib Presiden Zekeriyya Sahin.

Pemeteraian perjanjian itu disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.

Menurut MILDEF, deretan produk kenderaan taktikal dan berperisai yang dibangunkan oleh syarikat itu menjadi bukti keupayaan industri tempatan untuk menyumbang secara signifikan kepada agenda kemandirian pertahanan negara.

“Kerjasama ini mencerminkan sinergi antara keupayaan industri tempatan dan kepakaran teknologi global, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk membina ekosistem pertahanan berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan sekali gus mengangkat kedudukan Malaysia dalam industri pertahanan serantau,” menurut kenyataan itu.