KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki hari ini yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan di hadapan sebuah bangunan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, dua hari lepas sehingga mengakibatkan tiga mangsa mengalami kecederaan akibat dikelar dengan pisau.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata dalam kejadian Ahad lepas, polis menerima laporan pada pukul 4.03 pagi mengenai pergaduhan yang dikatakan berpunca daripada salah faham membabitkan empat hingga lima lelaki, sebelum seorang daripada mereka bertindak mengeluarkan pisau lipat dan melibas mangsa.
“Akibatnya mangsa pertama mengalami kecederaan luka dan kesan kelar di lengan kiri, mangsa kedua mengalami kecederaan kesan kelar di bahagian muka sebelah kiri dari kening hingga bibir dan mangsa ketiga luka di kepala sebelah kanan menyebabkan dia menerima 10 jahitan.
“Ketiga-tiga mangsa telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan kejadian itu polis menahan lima lelaki berumur 22 hingga 30 tahun antara 12.30 tengah malam tadi hingga 3 pagi ini di sekitar Puchong, Selangor bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Sulizmie Affendy turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.